Kehidupan peribadi Farid Kamil

Perhubungan

Ketika mula menceburkan diri dalam bidang seni, Farid mempunyai hubungan istimewa bersama pelakon Irma Hasmie (kini tidak lagi berlakon). Mereka mula menjalinkan hubungan pada tahun 2004 dan akibat ketidaksefahaman, mereka berpisah pada tahun 2008. Pelakon Fasha Sandha dikaitkan sebagai punca perpisahan pasangan ini.[27]

Pada tahun 2009, Farid dan heroin serasinya Lisa Surihani dikatakan mempunyai hubungan istimewa.[28] Namun kedua-duanya menafikan hubungan mereka.[28] Hanya pada penghujung tahun sama teka teki siapa kekasih Farid hampir terjawab apabila pendedahan mengenai hubungan intim Farid bersama pelakon sampingannya dalam filem Evolusi KL Drift, Diana Danielle mula menghiasi halaman depan akhbar. Pasangan ini tidak menafikan atau mengiyakan, namun mereka berdua memilih untuk tidak terlalu terdedah kepada media,[29] malah hubungan Farid dengan ibu Diana, Norsiah Ramli, juga dikatakan dingin.[30] Pasangan ini berkahwin pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua anak—Muhammad dan Nur Aurora.[5][31][32][33]

Kisah hidup Farid ketika di awal pembabitan dalam bidang seni sehingga sudah bergelar suami dan bapa, masih menjadi perhatian sehingga kini. Beliau dikaitkan dengan pelbagai kontroversi bukan bererti figura terkenal ini bertindak menyembunyikan diri sebaliknya beliau terus bertahan dalam industri ini. Malah, Farid juga antara selebriti yang cukup disenangi media kerana tidak mudah meleting berhadapan sebarang isu yang melanda.[34][35]

Pengalaman sebagai Mat Rempit

Mengimbas kembali kisah lampaunya, Farid mendedahkan rahsianya yang beliau juga pernah menjadi mat rempit di zaman sekolah menengah. Bersyukur kerana tidak ada perkara-perkara bahaya yang berlaku kepada dirinya, Farid menyesal dengan kegiatan yang dilakukannya bersama rakan-rakan ketika itu.[36] Sewaktu belajar dalam bidang Seni Persembahan di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Farid membuat kajian mengenai kehidupan seorang mat rempit sebelum memuatkan kisah golongan tersebut dalam dua filemnya iaitu Remp-It dan V3 Samseng Jalanan.[36] Dalam temuramah bersama mStar Online pada Mei 2011, beliau berkata:

"Saya nampak banyak perkara negatif apabila menjadi seorang mat rempit. Ia banyak merugikan. Itu pun saya sedar bila dah dewasa. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana tiada kemalangan yang menimpa diri seperti kebanyakan teman saya. Bila saya membuat kajian, barulah saya faham bahawa golongan mat rempit termasuklah saya dahulu mempunyai ideologi yang tersendiri."[36][37]

Serangan dan tuduhan dadah

Pada 11 Januari 2018, Farid ditahan polis akibat serangan ke atas pegawai polis dan beberapa orang awam di balai polis Kota Damansara. Beliau didakwa menampar seorang pegawai ketika beliau berada di balai polis Kota Damansara untuk buat laporan kemalangan.[38] Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Penolong Pesuruhjaya, Mohd Zani Che Din mengesahkan kejadian itu yang mengatakan ia sedang disiasat mengikut Seksyen 90 Akta Polis kerana melakukan kesalahan di balai polis dan serangan. Ujian kencing lebih lanjut mengesahkan beliau positif ganja.[39] Beliau telah ditahan reman selama 4 hari sehingga 15 Januari.[40] Pada 16 Januari, beliau dibebaskan dengan ikat jamin,[41] namun beliau ditahan sekali lagi, kali ini didakwa atas empat pertuduhan iaitu menyebabkan kecederaan, berkelakuan tidak senonoh dan mengganggu tugas penjawat awam.[42]

Berikutan penahanannya, akaun Instagram beliau telah dihujani dengan pelbagai komen dari warganet.[43]

Pada 25 Januari, Farid mengaku tidak bersalah atas tuduhan memasukkan dadah jenis THC (delta-9 tetra hydrocannabinol) ke dalam badannya.[44][45] Pada 9 Mac, beliau didakwa sekali lagi di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, atas tuduhan membuat laporan polis palsu.[46][47]

Beliau terpaksa menangguhkan pembedahan lutut yang sepatutnya dijalankan pada Mei 2018. Keputusan itu diambil selepas mengambil kira faktor proses pemulihan selepas pembedahan yang mengambil masa selama enam bulan. Dalam satu temuramah, beliau berkata: "Tempoh itu sekali gus akan menjejaskan kerjaya seni dan jadual saya selain mengambil kira kes mahkamah yang sedang berlangsung,".[48]

Beliau dihukum penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 15 Mei 2019, atas kesalahan mengguna dadah jenis ganja Tetra Hydrocannibol (THC) diletakkan di bawah pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun selepas mendapati beliau bersalah memiliki dadah.[49][50][51] Pada 21 Jun 2019, Farid diperintah membela diri oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas empat pertuduhan termasuk mencederakan anggota polis di Balai Polis Trafik Kota Damansara pada Januari 2018.[52][53][54]

Rujukan

WikiPedia: Farid Kamil http://www.agendadaily.com/Hiburan/bukan-mudah-baw... http://www.astroawani.com/berita-malaysia/farid-ka... http://beautifulnara.com/saya-memang-nak-berbaik-d... http://www.budiey.com/filem-rempit-v3-arahan-farid... http://www.imdb.com/name/nm1767178/ http://malaysianaccess.com/farid-kamil-mahu-kembal... http://malaysianaccess.com/farid-kamil-pentingkan-... http://malaysiandigest.com/hiburan/515679-sikap-ce... http://ohartis.com/2011/06/pekida-bantah-filem-kon... http://www.rotikaya.com/jalani-pembedahan-selepas-...